[FoodTech] Jus Minuman Pitaya

 


Tahukah anda, pasaran minuman ringan di Malaysia sedang berkembang dengan pesatnya dan bernilai RM4.2 billion pada tahun 2007? Sebanyak RM2.6 billion bagi sektor pasaran runcit (off-trade) dan RM1.6 billion lagi bagi sektor perhotelan dan restoran (on-trade). Potensi pasaran minuman dijangka akan berkembang pada kadar 5.0 peratus setahun untuk tempoh 2005 hingga 2010 di mana pertumbuhan agak perlahan di sektor pasaran runcit yang berkembang pada kadar 4.7 peratus berbanding dengan sektor perhotelan dan restoran pada 5.6 peratus.
Apakah yang dikategori dalam minuman ringan? Minuman ringan (soft drink) adalah terdiri daripada minuman berkarbonit, jus buah-buahan / sayuran, air mineral/minuman, minuman kesihatan, kordial, teh tersedia, kopi tersedia dan minuman Asia. Kesedaran tentang kesihatan yang semakin meningkat di kalangan pengguna mendorong jualan minuman kesihatan dan jus buah-buahan termasuk jus minuman buah pitaya. Ini adalah kerana buah pitaya/buah naga mempunyai khasiat yang sangat banyak.
Kajian menunjukkan buah naga merah ini sangat baik untuk sistem penghadaman dan peredaran darah. Ia juga memberi tindak balas memberangsangkan untuk mengurangkan tekanan emosi dan meneutralkan toksik dalam darah.Kajian juga menunjukkan buah ini boleh mencegah kanser usus, selain mencegah kandungan kolesterol yang tinggi dalam darah dan pada masa sama menurunkan kadar lemak dalam badan.
Secara keseluruhan, setiap buah naga merah mengandungi protein yang mampu mengurangkan metabolisma badan dan menjaga kesihatan jantung; serat (mengawal kanser usus, kencing manis dan diet); karotin (kesihatan mata, menguatkan otak dan menghalang penyakit); kalsium (menguatkan tulang) dan fosferos (pertumbuhan tisu badan). Buah naga juga mengandungi zat besi untuk menambah darah; vitamin B1 (mengawal kepanasan badan); vitamin B2 (menambah selera); vitamin B3 (menurunkan kadar kolesterol) dan vitamin C (menambah kelicinan, kehalusan kulit serta mencegah jerawat). Oleh itu, jus minuman pitaya ini akan menjadi tarikan utama bagi pengguna yang mengambil berat tentang kesihatan mereka.
Minuman buah-buahan ialah minuman ringan berasaskan jus atau jus berserta dengan pulpa. Ianya berperisa buah yang digunakan. Mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985 minuman berasas buah boleh terdiri dari sirap buah/kordial buah/skuas buah, minuman jus buah dan juga minuman buah.
Sirap buah, kordial buah atau skuas buah hendaklah minuman ringan yang terdiri daripada sirap dan jus, dengan atau tanpa bahagian yang boleh dimakan, dari satu jenis atau lebih buah-buahan. Ia hendaklah mengandungi tidak kurang daripada 25 peratus jus atau lain-lain bahagian satu atau lebih jenis buah-buahan.

Minuman jus buah hendaklah minuman yang terdiri daripada air minuman, jus buah tak tertapai atau campuran jus tak tertapai dengan atau tanpa gula, glukosa atau glukosa berfruktosa tinggi. Ia hendaklah mengandungi tidak kurang daripada 35 peratus b/i jus buah. Ia boleh mengandungi karbon dioksida.

Minuman buah hendaklah minuman ringan yang mengandungi tidak kurang dari 5 peratus b/i jus buah. Ketiga-tiga jenis minuman ini boleh mengandungi bahan pengawet yang dibenarkan, bahan pewarna yang dibenarkan, bahan perisa yang dibenarkan dan kondisioner makanan yang dibenarkan.

Tahap pH untuk minuman berasas buah ialah pH di antara 2.9 – 3.5. Tahap jumlah pepejal larut ialah 10 – 14 darjah Brix. Minuman buah-buahan boleh diproses didalam botol (kaca/plastik) dalam tin dan juga dalam kotak aseptic. Oleh kerana pH yang rendah pemprosesan minuman buah boleh dilakukan tanpa penggunaan bahan awet, walaubagaimanapun penggunaannya dibolehkan dan tidak boleh melebihi 140 bsj sulfar dioksida, 350 bsj asid benzoic atau 350 bsj asid sorbik. Bahan awet digunakan bukan sahaja bagi mengawal pembiakan kulat (yeast dan mold) tetapi juga berfungsi sebagai pengstabil warna semasa dalam penyimpanan.

MARDI setakat ini tidak lagi melaksanakan kajian mendalam dalam pemprosesan jus minuman buah pitaya. Walaubagaimanapun, prinsip-prinsip asas dalam teknologi pemprosesan jus minuman buah-buahan boleh digunakan untuk menghasilkan jus pitaya ini tanpa mengabaikan keperluan mematuhi Peraturan-peraturan Makanan 1985 yang disebutkan di atas.
bersambung.......

2 Response to "[FoodTech] Jus Minuman Pitaya"

  1. suwardi Says:

    Boleh masuk MSTE ni... Sure boleh menang.. dapat Gold medal..

  2. Anonymous Says:

    salam..saya pelajar ipta dalam tahu akhir....yang sedang menjalani projek akhir bagi tujuan pembelajaran ingin bertanya maklumat lanjut mengenai maklumat jus minuman pitaya ini...projek yang dijalankan berkaitan dengan buah naga.