[Story] Cahaya Mata Pertama

23/08/2008 - 10pm
Malam tersebut, aku balik agak lewat ke rumah. Menjaga gerai Pusat PT syif terakhir di tapak MAHA memang memenatkan. Aku dan beberapa rakan terpaksa mengangkat peti sejuk, 2 biji chiller, meja-meja dan meng'clear'kan stok-stok yang tidak abes dijual. Sampai di rumah, aku disambut isteriku. Hilang sedikit penat melihat insan tercinta bersama kandungan di perutnya. Selepas melepaskan lelah dan bermandian, aku masuk tidur pada pukul 11pm.

24/08/2008 - 4am
Aku dikejutkan oleh isteriku. "Abang!! Abang!! Air apa ni?" Aku melihat katil. Kelihatan tompokan air berwarna merah jambu yang telah meresap ke dalam katil. Dalam hatiku berkata " Sudah. Dah pecah dah beg air ni". Untuk "corfirmation" aku menelefon emakku yang mungkin sedang lena dibuai mimpi. Sorry mak, terpaksa ganggu kejap. Setelah memberitahu situasi yang berlaku, aku disyorkan untuk membawa isteriku ke hospital.

24/08/2008 - 5am
Aku mendaftarkan isteriku di dewan bersalin Hospital Serdang. Sebelum masuk ke bilik bersalin, bakal-bakal ibu ini akan diperiksa terlebih dahulu untuk memastikan mereka ini memang sudah tiba waktu bersalin. Setelah diperiksa, isteriku dimasukkan dahulu ke wad kelas 2 di tingkat 5 hospital tersebut sementara menunggu waktu bersalinnya yang diberitahu doktor akan lambat lagi kerana pintu kelahiran baru terbuka 1cm. Bersalin memerlukan 10cm terbukanya pintu ini.

24/08/2008 - 2pm
Isteriku dimasukkan semula ke dewan bersalin. Bukaan pintu kelahiran sudah mencecah 6cm. Isteriku sudah mengaduh kesakitan. Tersentuh jiwaku melihat keadaan isteriku itu. Aku terus memujuk isteriku untuk bersabar dan berselawat. Seketika aku berfikir. Mungkin keadaan yang sama juga berlaku kepada emakku ketika ingin melahirkanku. Pengorbanan emak sungguh tinggi. Dalam diam, aku menyematkan di hatiku untuk berbakti kepada emakku selagi hayat dikandung badan.

24/08/2008 - 3pm
Isteriku dimasukkan pula ke bilik bersalin. Aku dibenarkan masuk untuk memberi sokongan. Isteriku terus mengaduh kesakitan setiap kali 'contraction' berlaku. Semakin lama, semakin kerap ia berlaku. Kesakitan yang dialami semakin kuat. Aku mengusap kepala isteriku disamping memujuknya. Doa dan selawat sentiasa kupanjatkan di hatiku. Darah mengalir keluar membasahi kain yang dipakai isteriku. Aku yang allegic melihat darah semacam diberi kekuatan untuk bertahan dan terus memberi dorongan. Pernah suatu ketika dahulu ketika di matrikulasi, aku hampir pengsan di dalam lab biologi semasa membedah tikus. Tetapi aneh, kali ini aku mampu bertahan. Bidan ('nurse') turut membantu memberi dorongan kepada isteriku yang kerap kali mengaduh kesakitan. Sempat juga aku memerhatikan 'tag' kad 'nurse' tersebut. Lorh, budak tahun 1983 rupanya. Muda lagi. Tetapi kepakaran yang dimiliki bagaikan seorang doktor pakar.

24/08/2008 - 4pm
Akhirnya, selepas berjuang bermati-matian, isteriku selamat melahirkan anak. Aku sendiri melihat bagaimana kepala anakku keluar sedikit demi sedikit sehingga 'nurse' menarik keluar anakku itu. Tangisannya bagaikan membawa rahmat kepada isteri dan diriku sendiri. Aku yang sememangnya keletihan kerana tidak cukup tidur dan keletihan bekerja, hilang semuanya apabila melihat wajah comel 'baby'ku itu. 'Nurse' meletakkan 'baby' itu di atas dada isteriku sementara dia mengeluarkan uri. Proses ini penting bagi menghubungkan 'baby' dengan ibunya. 'Baby' kemudiannya dibersihkan dan diserahkan kepadaku untuk diazan dan diqamatkan. Suaraku sedikit bergetar, terharu menerima cahaya mataku yang pertama. Sebelum beredar keluar dari bilik bersalin, aku mengucup dahi isteriku dan mengucapkan terima kasih kerana sudi melahirkan zuriatku. Isteriku kemudiannya ditempatkan di wad 8B kelas pertama di tingkat 8 hospital tersebut. Malam itu, aku menemani isteriku di wad tersebut sehingga tengah hari keesokannya dan seterusnya membawa isteri dan 'baby' pulang ke rumah emakku. Nama diberi: Aneesa Basheera yang membawa maksud: Yang Mesra, Yang Membawa Berita Gembira. Harapanku, semoga anakku ini akan menjadi insan yang berguna dan dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negara.







0 Response to "[Story] Cahaya Mata Pertama"