[Tutorial] Menukar Logo Carrier Peranti iOS Tanpa Jailbreak

Sebelum ini, menukar logo carrier memerlukan pengguna untuk jailbreak peranti iOS mereka. Kini terdapat cara yang boleh dilakukan bagi tujuan yang sama tanpa memerlukan jailbreak. Ikuti langkah-langkah di bawah ini. 

Keperluan: 
1. iTunes 
2. CarrierEditor (Mac) / CustomCarrierLogo (Windows) 

Kaedah: 
1. Install dan buka CarrierEditor / CustomCarrierLogo. Klik "Let's Get Started". Bagi pengguna Windows, right click aplikasi CustomCarrierLogo dan run as administration.

2. Di bahagian Carrier Version, masukkan nombor versi carrier peranti iOS anda. Nombor versi ini boleh dilihat pada Settings - About -  Carrier.


3. Seterusnya di bahagian "Device", pilih peranti iOS anda samada iPhone atau iPad (with cellular). Di bahagian "Carrier" pula, pilih nama telco anda samada Celcom, Maxis atau Digi. 

4. Seterusnya pemilihan logo. Terdapat 2 kotak iaitu "black" dan "etched". Tarik/Browse fail logo berformat .png yang anda kehendaki di kotak tersebut. Anda boleh gunakan logo yang sedia ada yang diberi sekali di dalam fail installer seperti SINI atau design sendiri. Bagi yang ingin design sendiri, ikuti langkah 5. 

5. Buka perisian pengeditan gambar seperti Photoshop atau Pixelmator. Pixelmator digunakan dalam tutorial ini. Dimension yang disarankan adalah 89 x 40. Design logo anda di ruangan itu. Anda juga tarik gambar yang pernah anda design sebelum ini ke dimension itu. Pastikan tidak menggunakan sebarang background layer. Sekiranya anda ingin membuat perkataan, pastikan perkataan itu menggunakan warna putih agar ia akan kelihatan di skrin peranti iOS anda nanti.

6. Save hasil kerja anda ke 2 fail berformat .png dengan nama Black.png dan Etched.png. Tarik / browse kedua-dua fail ini ke ke tempat seperti yang dinyatakan dalam langkah ke 4. Klik "Compile Carrier Update" 


7. Dua fail .ipcc akan terhasil di Dekstop anda iaitu original dan custom. Buka iTunes dan sambungkan peranti iOS anda ke iTunes. Tekan Option (bagi pengguna Mac) atau Shift (pengguna Windows) dan tekan Restore. Pilih fail custom.ipcc tadi. 



Bagi pengguna Windows, tukarkan file type kepada .ipcc supaya pencarian file .ipcc dapat dilakukan tersebut.



8. Tahniah. Anda telah berjaya menukar logo carrier anda. Gunakan fail .ipcc original untuk kembali ke logo carrier asal anda semula.



P/S: Screenshot di atas berbeza sedikit bagi sesiapa yang menggunakan CustomCarrierLogo memandangkan tutorial ini menggunakan screenshot daripada CarrierEditor.

Credit: @MohamadZafri untuk screenshot gambar iTunes di Windows.

[Story] Pendakian ke Bukit Datok




Pagi itu aku terjaga pada pukul 6.20 pagi. Sedikit terlewat daripada kebiasaanku. Mungkin kerana tidur lewat pada malam sebelumnya, menonton rancangan akhir Maharajalawak Mega 2012. Terasa liat untuk bangkit dari peraduan menuju ke kamar mandi. Setelah termangu beberapa ratus saat, aku berjaya jua mencapai tuala dan membersihkan diri. Tanggungjawabku sebagai seorang muslim ditunaikan sebelum fajar menyingsing. Sempat juga aku kejutkan teman sekatilku untuk bangkit menunaikan tanggungjawab itu. Alhamdulillah. Anak-anak pula masih lena dibuai mimpi.

Di dapur, dua keping roti Gardenia diambil untuk mengalas perut. Sambil mengunyah, timeline Twitter diperiksa untuk mengetahui perihal Twitterjaya dan dunia teknologi. Tiada apa yang menarik pagi itu, cuma ada saki baki cerita kejadian paranormal yang berlaku di UiTM Lendu. Entah betul atau tidak cerita-cerita itu. Sebelum keluar dari rumah, aku naik semula untuk memberitahu pemergianku ke MARDI kepada isteriku. Isteriku menghulurkan dan mengucup tanganku.

Jalan yang agak lengang pagi itu memudahkan perjalananku ke MARDI. Aku sampai ke Astaka MARDI iaitu lokasi berkumpul sebelum pendakian pada pukul 7.40 pagi. Melilau mataku mencari rakan kenalan. Masih belum ramai yang sampai pada ketika itu. Foursquare dibuka untuk check-in di tempat itu secara maya. Sengaja aku menyambungkan check-in Foursquare itu kepada Facebook dan Twitter bagi memberitahu rakan kehadiranku di situ. Tidak berapa lama selepas itu, Rashid membalas di Twitter mengatakan dia dalam perjalanan ke situ. Matlamatku tercapai.

Pukul 8 pagi, ramai yang telah hadir. Taklimat ringkas telah diberikan oleh pihak penganjur. Serba sedikit perihal Bukit Datok diceritakan kepada peserta. Nama itu mungkin dipilih sempena dengan nama Ketua Pengarah MARDI yang berpangkat Datuk. Senaman ringkas juga dijalankan bagi mengelakkan ketegangan otot dan meningkatkan semangat untuk mendaki. Bacaan doa turut dilakukan bagi memberkati pendakian kami. Pendakian dimulakan pada pukul 8.30 pagi. Seramai lebih kurang 45 peserta menyertai pendakian kali ini. Majoriti daripada peserta adalah daripada Pusat Bioteknologi MARDI. Aku seorang sahaja wakil daripada Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi MARDI.




Sambil mendaki, peserta berbual-bual dan beramah mesra. Pelbagai cerita dikongsi bersama. Aku menyertai geng-geng larian MARDI iaitu Rashid, Hafiz Aizat dan Hazrul. Nadia Nuramina dan Zaiful  turut bersama kami. Mereka merupakan jurugambar yang biasa mengambil gambar pada aktiviti-aktiviti bebas MARDI. Malang sekali, pada aktiviti kali ini, masing-masing tidak membawa DSLR mereka. Mungkin untuk memudahkan pendakian barangkali. Sepanjang pendakian, kami dapat melihat keindahan flora dan fauna. Pokok-pokok hutan ada yang dilabelkan, mungkin inisiatif daripada pusat tertentu untuk memberi informasi kepada yang mendaki. Denai kecil turut diharungi. Kayu-kayu yang dibina sebagai tempat pemegang memudahkan peserta untuk mendaki di tempat yang curam. Laluan agak licin memandangkan hujan yang turut pada malam sebelumnya.






Terdapat tiga lokasi perhentian sepanjang pendakian kami. Di situlah kami menunggu rakan-rakan peserta lain dan mengambil nafas. Aku tidak melepaskan peluang menangkap gambar-gambar kenangan menggunakan iPhone 5 sepanjang pendakian ini. Ada juga peserta yang gigih membawa DSLR bagi merakam gambar-gambar beresolusi tinggi. Salah seorang daripada mereka adalah adik Fatin Liyana Izzati yang baru kukenali semasa mendaki ke Bukit Broga sebelum ini dan kini menjadi rakan Twitter. Entah dapat atau tidak melihat hasil seni tangkapan gambar beliau.




Kami sampai ke puncak Bukit Datok lebih kurang pada pukul 10 pagi. Di sini kami dapat melihat bandar Serdang, Taman Equine dan keseluruhan MARDI dengan jelas. Terasa sedikit sejuk di puncak tersebut walaupun ianya tidaklah setinggi mana (144 meter). Aku berasa kagum. Tidak kusangka MARDI memiliki tanah seluas ini apatah lagi mempunyai bukit yang begitu cantik. Sesi penggambaran sememangnya tidak dilepaskan oleh para peserta. 








Para peserta dijamu dengan pelbagai juadah pagi seperti nasi lemak bersambal sotong beserta ayam goreng, sandwich, cempedak goreng dan minuman sejuk dan panas. Peralatan memasak dan makanan-makanan ini telah dibawa ke atas menggunakan kenderaan pacuan empat roda. Buah nadir seperti buah kuning telur dan buah rambai turut disediakan sebagai pencuci mulut (salah konsep ni, patut makan buah dulu. Meleis sungguh).



Setelah puas berada di puncak Bukit Datok, kami memulakan aktiviti penurunan pada pukul 11 pagi. Laluan penurunan lebih mudah memandangkan kami menggunakan laluan yang digunakan oleh kenderaan pacuan empat roda. Ada juga peserta yang menaiki kenderaan tersebut untuk turun dari puncak itu. Mungkin mereka telah letih dan penuh perut barangkali. Sampai sahaja ke Astaka MARDI, kami bersurai dengan kenangan masing-masing. Aku puas dan seronok dengan pendakian ini. Selain dapat membakar kalori (walapun kat puncak membuat carbo loading), aku juga dapat berjumpa dengan rakan-rakan serta beramah mesra dengan peserta lain. Semoga aktiviti-aktiviti seperti ini dapat diadakan dari semasa ke semasa. Tahniah diucapkan kepada pihak KSSM MARDI yang menjadi penganjur kepada pendakian ini. Semoga Allah membalas jasa baik anda semua. Jadi selepas ini, akitiviti KSSM yang akan aku sertai mungkin adalah larian KSSM yang bakal diadakan pada 16 Februari nanti. Jumpa anda semua di sana.


Kredit: Foto Garmin daripada Rashid Mat Rani