Showing posts with label Trips. Show all posts
Showing posts with label Trips. Show all posts

[Story] Pendakian ke Bukit Datok




Pagi itu aku terjaga pada pukul 6.20 pagi. Sedikit terlewat daripada kebiasaanku. Mungkin kerana tidur lewat pada malam sebelumnya, menonton rancangan akhir Maharajalawak Mega 2012. Terasa liat untuk bangkit dari peraduan menuju ke kamar mandi. Setelah termangu beberapa ratus saat, aku berjaya jua mencapai tuala dan membersihkan diri. Tanggungjawabku sebagai seorang muslim ditunaikan sebelum fajar menyingsing. Sempat juga aku kejutkan teman sekatilku untuk bangkit menunaikan tanggungjawab itu. Alhamdulillah. Anak-anak pula masih lena dibuai mimpi.

Di dapur, dua keping roti Gardenia diambil untuk mengalas perut. Sambil mengunyah, timeline Twitter diperiksa untuk mengetahui perihal Twitterjaya dan dunia teknologi. Tiada apa yang menarik pagi itu, cuma ada saki baki cerita kejadian paranormal yang berlaku di UiTM Lendu. Entah betul atau tidak cerita-cerita itu. Sebelum keluar dari rumah, aku naik semula untuk memberitahu pemergianku ke MARDI kepada isteriku. Isteriku menghulurkan dan mengucup tanganku.

Jalan yang agak lengang pagi itu memudahkan perjalananku ke MARDI. Aku sampai ke Astaka MARDI iaitu lokasi berkumpul sebelum pendakian pada pukul 7.40 pagi. Melilau mataku mencari rakan kenalan. Masih belum ramai yang sampai pada ketika itu. Foursquare dibuka untuk check-in di tempat itu secara maya. Sengaja aku menyambungkan check-in Foursquare itu kepada Facebook dan Twitter bagi memberitahu rakan kehadiranku di situ. Tidak berapa lama selepas itu, Rashid membalas di Twitter mengatakan dia dalam perjalanan ke situ. Matlamatku tercapai.

Pukul 8 pagi, ramai yang telah hadir. Taklimat ringkas telah diberikan oleh pihak penganjur. Serba sedikit perihal Bukit Datok diceritakan kepada peserta. Nama itu mungkin dipilih sempena dengan nama Ketua Pengarah MARDI yang berpangkat Datuk. Senaman ringkas juga dijalankan bagi mengelakkan ketegangan otot dan meningkatkan semangat untuk mendaki. Bacaan doa turut dilakukan bagi memberkati pendakian kami. Pendakian dimulakan pada pukul 8.30 pagi. Seramai lebih kurang 45 peserta menyertai pendakian kali ini. Majoriti daripada peserta adalah daripada Pusat Bioteknologi MARDI. Aku seorang sahaja wakil daripada Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi MARDI.




Sambil mendaki, peserta berbual-bual dan beramah mesra. Pelbagai cerita dikongsi bersama. Aku menyertai geng-geng larian MARDI iaitu Rashid, Hafiz Aizat dan Hazrul. Nadia Nuramina dan Zaiful  turut bersama kami. Mereka merupakan jurugambar yang biasa mengambil gambar pada aktiviti-aktiviti bebas MARDI. Malang sekali, pada aktiviti kali ini, masing-masing tidak membawa DSLR mereka. Mungkin untuk memudahkan pendakian barangkali. Sepanjang pendakian, kami dapat melihat keindahan flora dan fauna. Pokok-pokok hutan ada yang dilabelkan, mungkin inisiatif daripada pusat tertentu untuk memberi informasi kepada yang mendaki. Denai kecil turut diharungi. Kayu-kayu yang dibina sebagai tempat pemegang memudahkan peserta untuk mendaki di tempat yang curam. Laluan agak licin memandangkan hujan yang turut pada malam sebelumnya.






Terdapat tiga lokasi perhentian sepanjang pendakian kami. Di situlah kami menunggu rakan-rakan peserta lain dan mengambil nafas. Aku tidak melepaskan peluang menangkap gambar-gambar kenangan menggunakan iPhone 5 sepanjang pendakian ini. Ada juga peserta yang gigih membawa DSLR bagi merakam gambar-gambar beresolusi tinggi. Salah seorang daripada mereka adalah adik Fatin Liyana Izzati yang baru kukenali semasa mendaki ke Bukit Broga sebelum ini dan kini menjadi rakan Twitter. Entah dapat atau tidak melihat hasil seni tangkapan gambar beliau.




Kami sampai ke puncak Bukit Datok lebih kurang pada pukul 10 pagi. Di sini kami dapat melihat bandar Serdang, Taman Equine dan keseluruhan MARDI dengan jelas. Terasa sedikit sejuk di puncak tersebut walaupun ianya tidaklah setinggi mana (144 meter). Aku berasa kagum. Tidak kusangka MARDI memiliki tanah seluas ini apatah lagi mempunyai bukit yang begitu cantik. Sesi penggambaran sememangnya tidak dilepaskan oleh para peserta. 








Para peserta dijamu dengan pelbagai juadah pagi seperti nasi lemak bersambal sotong beserta ayam goreng, sandwich, cempedak goreng dan minuman sejuk dan panas. Peralatan memasak dan makanan-makanan ini telah dibawa ke atas menggunakan kenderaan pacuan empat roda. Buah nadir seperti buah kuning telur dan buah rambai turut disediakan sebagai pencuci mulut (salah konsep ni, patut makan buah dulu. Meleis sungguh).



Setelah puas berada di puncak Bukit Datok, kami memulakan aktiviti penurunan pada pukul 11 pagi. Laluan penurunan lebih mudah memandangkan kami menggunakan laluan yang digunakan oleh kenderaan pacuan empat roda. Ada juga peserta yang menaiki kenderaan tersebut untuk turun dari puncak itu. Mungkin mereka telah letih dan penuh perut barangkali. Sampai sahaja ke Astaka MARDI, kami bersurai dengan kenangan masing-masing. Aku puas dan seronok dengan pendakian ini. Selain dapat membakar kalori (walapun kat puncak membuat carbo loading), aku juga dapat berjumpa dengan rakan-rakan serta beramah mesra dengan peserta lain. Semoga aktiviti-aktiviti seperti ini dapat diadakan dari semasa ke semasa. Tahniah diucapkan kepada pihak KSSM MARDI yang menjadi penganjur kepada pendakian ini. Semoga Allah membalas jasa baik anda semua. Jadi selepas ini, akitiviti KSSM yang akan aku sertai mungkin adalah larian KSSM yang bakal diadakan pada 16 Februari nanti. Jumpa anda semua di sana.


Kredit: Foto Garmin daripada Rashid Mat Rani

[Story] R&R Pagoh

Salam sejahtera semua. Sekian lama nampaknya aku menyepi daripada melakar cetusan idea di sini. Mungkin kerana kesibukan bekerja khususnya outstation tanpa henti, memberi servis teknikal kepada usahawan-usahawan industri makanan agensi yang sedang aku berkhidmat. Bebaru ini, aku telah bertugas ke sekitar daerah Johor Bahru dan Batu Pahat dan di sini tergerak aku untuk berkongsi sedikit pengalaman di R&R Pagoh (side Utara-Selatan dan Selatan-Utara).

Sudahkah anda semua singgah di R&R Pagoh yang telah lama ditutup oleh PLUS untuk penambahbaikan? Jikalau ya, sudah pasti anda dapat membayangkan R&R yang cukup dengan pelbagai kemudahan khususnya untuk pemandu-pemandu yang travel bersama keluarga mereka. Syabas diucapkan kepada pihak PLUS yang menyediakan R&R yang berprestij tinggi yang dilengkapi dengan kemudahan serta memiliki landskap yang menyejukkan mata memandang.

Untuk pengetahuan semua, kesemua kedai yang terletak di R&R itu mendapat pengiktirafan gred A daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pengiktirafan seumpama itu, adalah penting untuk memperoleh keyakinan para pengguna yang berkunjung ke situ untuk menjamu selera. Dianggarkan setakat ini, jumlah pengunjung yang singgah di R&R Pagoh (arah Utara) sudah mencecah purata 12,000 orang pada hari Sabtu dan Ahad manakala seramai 4,000 pada hari biasa. (sumber kosmo)

Di sini aku sertakan gambar-gambar yang telah aku ambil semasa singgah dikedua-dua R&R tersebut untuk tatapan anda semua. Anda nilaikan sendiri dan jikalau berkesempatan ke selatan, sila-silalah singgah untuk melihat sendiri keadaan di sana.

R&R Pagoh (arah Utara ke Selatan)

R&R Pagoh Utara ke Selatan


Gerai-gerai makanan


Lanskap kolam ikan

Lanskap di hadapan surau


Tempat wuduk yang unik


Keadaan di dalam surau lelaki


Tandas yang bersih


Kemudahan tempat mandi

R&R Pagoh (arah Selatan ke Utara)



R&R Pagoh Selatan Ke Utara


Gerai-gerai dan ruang makan yang bersih


Eskalator disediakan untuk ke tempat makan



Lanskap di hadapan surau


Ruang di dalam surau lelaki


Kaki lima



Taman permainan untuk kanak-kanak turut disediakan



Lanskap di hadapan tandas


Kemudahan menukar lampin yang lengkap


Kawasan tandas yang berlanskap

[Story] Kellis Castle




Pada 18/6/2007 aku berkesempatan untuk melawat Istana Kellis di Perak semasa dalam perjalanan untuk bertugas sebagai fasi bagi program Bengkel Troubleshooting Usahawan MARDI Perak yang diadakan di Lumut Perak. Berikut aku tepekkan beberapa fakta dan sejarah berkenaan dengan Istana Kellie ini.
Istana Kellie atau Kellie's Castle (kadang-kadang digelar Folly Kellie) ialah sebuah istana kota yang terletak di tepi jalan Simpang Pulai ke Batu Gajah, Negeri Perak.
Sejarah
Bangunan Kellie's Castle atau Kellas House telah dibina pada tahun 1910 oleh seorang peladang getah terkemuka British bernama William Kellie Smith. Bangunan tiga tingkat dibina mengikut reka bentuk sebuah istana Moghul di bandar Agra, India. Tukang-tukang binaan bangunan tersebut dibawa khas dari Madras.
Bangunan yang mempunyai 14 bilik, sebuah bilik bawah tanah dan terowong rahsia itu juga akan dilengkapkan dengan lif iaitu yang pertama di Tanah Melayu. Di tingkat kedua pula akan dibina sebuah padang tenis dengan lantai simen. Berita mengenai bangunan itu pernah disiarkan dalam akbar London Financer pada 15 September 1911. Akhbar itu menyifatkan Kellas House itu mungkin yang paling unik di seluruh Timur Jauh, baik dari segi bentuk mahupun besarnya.
Bangunan ini tidak sempat disiapkan setelah Kellie Smith meninggal dunia di Pelabuhan Lisbon, Portugal pada 11 Disember 1926. Bangunan yang dalam keadaan 'sedang dibina' adalah menjadi tarikan pengunjung ke Batu Gajah kerana keunikannya.
Tarikan Pelancong
Sebuah jambatan menyeberangi Sungai Kinta dibina untuk pelawat mudah ke Istana Kellie. Sebuah kedai makan dan kedai cenderamata dan tapak parkir kereta telah dibina Majlis Daerah Kinta Barat pada tahun 1990.
Istana Kellie sering menjadi lokasi penggambaran drama dan filem. Antaranya ialah filem Anna And The King yang dilakonkan oleh Chow Yuen Fatt.
Cara Ke Sana
Jika anda dari Kuala Lumpur melalui Lebuh raya Utara Selatan, anda perlu keluar di Plaza Tol Simpang Pulai dan menuju ke Batu Gajah atau Universiti Teknologi Petronas di Tronoh

Sumber: Wikipedia